Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker memuji semangat tinggi ditampilkan rakan sepasukannya, Luis Diaz yang tetap beraksi meskipun bapanya masih lagi belum dilepaskan.

Luis Manuel Diaz masih berada dalam tahanan gerila National Liberation Army walaupun dikatakan akan dilepaskan secepat mungkin manakala ibu beliau, Cilenis Marulanda diselamatkan beberapa jam selepas insiden tersebut.

Sudah pasti beraksi dalam keadaan risau memikirkan situasi di Colombia itu, Diaz masih mampu melangkah ke dalam padang pada minit ke-83 ketika pertemuan dengan Luton Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24, awal pagi tadi.

Lebih menarik untuk diperkatakan mengenai pemain kelahiran Colombia itu, beliau berjaya menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan.

Jaringan yang memadam kelebihan dimiliki tuan rumah pada minit ke-80 menerusi Tahith Chong sekali gus turut menghalang Liverpool daripada mengalami kekalahan buat kali kedua dalam saingan liga pada musim ini.

Melihatkan kepada jiwa besar dijelmakan Diaz untuk beraksi, Alisson memuji kekuatan dalaman yang dimiliki oleh rakannya itu.

“Ia menceritakan banyak perkara tentang karakternya, tentang kekuatan dalaman yang ada dalam dirinya.”

“Tak ramai orang [boleh] membayangkan apa yang dia sedang lalui pada ketika ini, walaupun kami rapat dengannya,” ujar Alisson menurut sumber laporan Goal.

“Sudah pasti kami akan terus memberikan sokongan kepadanya. Kami turut merasai kesakitan itu tetapi baginya,  [kesakitan] ia satu tahap yang sangat berbeza berbanding orang lain.”

“Bola sepak kadangkala berada dalam detik hitam, boleh membawa kegembiraan buat orang ramai, boleh memberikan kegembiraan buat sesiapa yang sedang bergelut.”

“Dan saya berfikir bola sepak membawa secebis kegembiraan buat Lucho pada ketika ini,” tambah Alisson lagi.

 

Sumber